BANGI:Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan memulangkan semula RM350 daripada yuran pendaftaran 3,854 pelajar tahun satu yang mendaftar bagi semester satu sesi akademik 2020/2021 pada Oktober tahun lepas.

Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata bagaimanapun, pemulangan itu tidak dilakukan secara pemberian tunai sebaliknya akan ditolak daripada yuran semester akan datang yang bermula Mac ini.

"Namun begitu, pengecualian boleh diberikan kepada pelajar yang memerlukan pemulangan tunai, tertakluk kepada pelajar mengemas kini maklumat akaun bank," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ini bermakna yuran pendaftaran pelajar dikurangkan daripada RM1,200 kepada RM850 dengan nilai keseluruhan pemulangan berjumlah RM1.34 juta.

"Pengurangan yuran pendaftaran pelajar baharu semester satu sesi akademik 2020/2021 dibuat memandangkan pandemik COVID-19 yang melanda negara menyebabkan para pelajar tidak dapatmengikuti aktiviti minggu mesra mahasiswa baharu secara bersemuka," katanya.

Mohd Ekhwan berharap langkah itu akan dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar yang terkesan akibat penularan wabak itu serta melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengurangan yuran itu boleh berhubung dengan Bahagian Kewangan Pelajar melalui e-mel ke [email protected].

-- BERNAMA